DEFINISI PELANCONGAN REKREASI BERASASKAN
CABARAN
Pelancongan merupakan suatu kegiatan ekonomi yang
mendatangkan pendapatan lumayan kepada sesebuah negara. Hakikatnya banyak
kawasan-kawasan pelancongan baru dibuka untuk tatapan pengunjung dari masa ke
semasa. Menurut Mathieson & Wall (1982), pelancongan adalah gerakan
sementara oleh manusia ke destinasi lain di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya
yang biasa, kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi
tersebut dan kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan mereka. Manakala menurut
Mason (2003), pelancongan adalah kajian tentang manusia daripada habitat asalnya yang mana memberi
reaksi kepada industri dan kehendaknya serta memberi impak terhadap
sosial, ekonomi dan persekitaran fizikal. Rekreasi berasaskan cabaran
dikelaskan sebagai pelancongan alternatif didalam cabang pelancongan. Menurut Bucher & Bucher
(1974), rekreasi adalah berkaitan dengan aktiviti yang dijalankan oleh
manusia ketika masa kesenggangan, aktiviti yang menyeronokkan dan memberi kepuasan
aktiviti secara sukarela dan tidak melibatkan ganjaran. Menurut Newsome,
Moore & Dowling (2004), rekreasi berasaskan cabaran adalah berfokus kepada
aktiviti didalam kawasan semulajadi samada didarat, air atau
udara. Walau bagaimanapun setiap aktiviti dan kegiatan rekreasi berasaskan
cabaran yang di anjurkan atau diadakan perlulah mengambil kira
impaknya terhadap biodiversiti. Ianya juga harus mengambil kira yang mana
jika impaknya tidak ditangani dengan berhati-hati maka kehidupan biodiversiti
diatas muka bumi ini akan terhapus buat selama-lamanya dan secara tidak
langsung juga memberi impak yang besar terhadap
manusia.
KEPENTINGAN BIODIVERSITI
Sejak berkurun lamanya manusia bergantung kepada
kepelbagaian biodiversiti dan sumber-sumber biologi untuk meneruskan kehidupan.
Sumber-sumber biodiversiti membekalkan manusia dengan keperluan makanan,
perubatan, produk-produk industri dan juga berperanan penting untuk mengimbangi
alam sekitar. Selain itu, kepelbagaian sumber flora dan fauna membekalkan
manusia dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan. Biodiversiti memberi ruang
kepada manusia untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah serta rekreasi di
samping menghayati keindahan alam semulajadi serta meluaskan pengetahuan
tentang kepelbagaian dan kekayaan sumber biodiversiti . Pelbagai aspek aktiviti
riadah yang dapat dijalankan termasuklah aktiviti sukan air, terjunan udara,
meredah hutan, aktiviti berkhemah, penjelajahan hutan dan
berbagai lagi.
KEPENTINGAN BIODIVERSITI TERHADAP SOSIAL
Biodiversiti memberikan banyak peluang dan kepentingan
terhadap perkembangan sosial. Taman-taman negara, kawasan rizab hidupan liar,
sungai dan lautan dan juga kawasan-kawasan yang dilindungi memainkan peranan
yang signifikan terhadap penggalakkan perkembangan ekonomi dengan membekalkan
pelbagai sumber kepada kehidupan sosial manusia. Antaranya sumber perkhidmatan
kesihatan (melalui kepelbagaian etnobotani), sumber air minuman, sumber
penjanaan kuasa elektrik dan juga memberikan sumber pendapatan dan pekerjaan kepada
masyarakat. Perkembangan dan pembangunan pelancongan rekreasi secara langsung
dapat membantu masyarakat setempat dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan.
Menurut Zbignew (1995), pelancongan merupakan sektor ekonomi yang
menawarkan produk yang paling bernilai iaitu alam semulajadi. Selain itu juga,
sumber biodiversiti yang merupakan warisan negara merupakan khazanah ilmu
yang tidak ternilai harganya. Oleh yang demikian, langkah
konservasi dan pemuliharaan sumber biodiversiti yang ada perlu digiatkan
agar generasi akan datang masih berpeluang untuk mempelajari dan
memperoleh ilmu pengetahuan daripadanya. Saling kaitan di antara kehidupan sosial
dan kepelbagaian sumber biodiversiti tidak dapat dinafikan lagi.
Manusia masih bergantung kepada sumber biodiversiti dan ekologi yang ada.
Begitu juga
sumber biodiversiti yang amat memerlukan perhatian dan
perlindungan daripada manusia untuk ia terus kekal di muka bumi ini.
ANCAMAN PELANCONGAN REKREASI BERASASKAN CABARAN TERHADAP BIODIVERSITI
Terdapat banyak sebab yang boleh di ambil
kira terhadap ancaman dan kesan yang di tinggalkan oleh penggiat-penggiat
rekreasi di kawasan persekitaran aktiviti mereka. Kerosakan biodiversiti dikawasan terlibat disebabkan oleh penggiat-penggiat
yang lalai dan kurangnya kesedaran dikalangan mereka ketika menjalankan
aktiviti dan selepas meninggalkan kawasan tersebut.
Menurut Newsome, Moore & Dowling (2004), pelancongan rekreasi
berasaskan cabaran sememangnya memberi impak terhadap biodiversiti seperti aktiviti rekreasi air, kenderaan pacuan empat
roda, penjelajahan hutan, perkhemahan, basikal lasak, menunggang kuda dan
penjelajahan gua. Sememangnya aktiviti-aktiviti ini begiu
diminati oleh penggemar-penggemar rekreasi berasaskan cabaran.
Tumbuhan dan
pokok-pokok merupakan salah satu tarikan utama yang dapat menarik lebih
ramai pengunjung ke sesuatu tempat. Melalui aktiviti menjelajah hutan, basikal lasak, pandu arah dan juga penjelajahan kenderaan pacuan empat roda mereka
dapat melihat dengan lebih dekat sumber-sumber biodiversiti yang cantik
dan unik dan jarang-jarang dapat dilihat
dikawasan-kawasan hutan biasa. Namun tidak banyak yang diketahui umum
tentang impak yang telah ditinggalkan oleh mereka terhadap biodiversiti. Beberapa impak yang ditinggalkan oleh penggiat-penggiat ini
antaranya ialah menggunakan api secara tidak berhati-hati akan menyebabkan
kebakaran hutan
secara tidak langsung.
Disamping itu
juga, kegiatan penebangan pokok dengan sengaja untuk
mendirikan tiang-tiang khemah dan juga sebagai sumber kayu api secara
tidak langsung akan mengakibatkan banyak pokok-pokok muda
terhapus dan struktur umum komuniti pokok dikawasan tersebut akan berubah.
Kesan daripada itu hanya sebilangan kecil pokok sahaja yang akan matang dan kurang sesuai digunakan untuk tempat
berteduh pada masa-masa akan datang. Terdapat juga kegiatan pembuangan
sampah secara berlebihan yang bukan sahaja menjadikan
pemandangan dikawasan persekitaran cacat malah secara tidak langsung
mengubah status nutrien tanah dan mengakibatkan kerosakan hidupan biodiversiti dengan cara menyekat kemasukan udara dan
cahaya di persekitaran tersebut.
Selain daripada itu, aktiviti perkhemahan juga mempunyai kesan yang
serupa dengan injakan. Pembinaan tempat berkhemah melibatkan penebasan
pokok dan juga tumbuh-tumbuhan dikawasan sekitar tapak. Kerosakan
dikawasan tersebut juga secara tidak langsung akan juga berkembang ke
kawasan sekitarnya berikutan keperluan pembinaan lorong untuk berjalan dan
tapak untuk keperluan asas yang lain seperti dapur, tandas dan juga tempat
penyimpanan peralatan. Sehingga hari ini masih kurangnya penyelidikan
terutamanya tentang mutu air disebabkan oleh kegiatan rekreasi terutamanya
rekreasi yang berasaskan air seperti jet ski, motor bot, bot laju dan kenderaan rekreasi air yang lain. Menyedari
kepada keadaan yang serius ini amat menghairankan
mengapa tidak banyak penyelidikan yang dijalankan untuk mengetahui sebabnya.
Pembangunan
pelancongan rekreasi berasaskan cabaran boleh memberi tekanan ke atas sumber semula jadi bila berlakunya peningkatan penggunaan kawasan dan kemasukan jumlah pelancong yang datang. Aktiviti perkhemahan, penjelajahan
hutan dan mendaki gunung lazimnya memerlukan kawasan yang berdekatan dengan punca air bagi memudahkan aktiviti memasak dan mencuci. Namun jika penggunaan
sumber air tersebut digunakan dengan cara yang bertentangan akan mengakibatkan
sumber biodiversiti di kawasan tersebut menghadapi kesukaran untuk hidup.
Contohnya aktiviti mencuci samada peralatan memasak
atau pinggan mangkuk dikawasan denaidenai, sungai dan juga tasik jika tidak diuruskan dengan baik seperti tumpahan minyak dan juga peningkatan bahan kimia di dalam air akibat daripada sabun
pencuci secara tidak langsung akan mengakibatkan habitat di dalamnya akan terjejas. Ini amat juga membimbangkan jika jumlah patogen dibawa masuk ke dalam persekitaran air melalui sisa kumbahan mentah atau kumbahan yang tidak
diproses dengan secukupnya. Hal ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pengguna rekreasi yang lain. Selain itu, menurut Mathieson & Wall
(1982), pertambahan nutrien ke dalam air juga akan mempercepatkan proses
eutropikasi. Keadaan ini berlaku di mana rumpai akan
cepat tumbuh dan sekaligus boleh mengurangkan paras dan kandungan oksigen yang terlarut dan umumnya boleh mengundang kematian, menjejaskan ikan, komposisi dan kadar pertumbuhan
serta pembiakan spesis-spesis air yang lain.
Pencemaran air daripada aktiviti meredah hutan dengan menggunakan
kenderaan pacuan empat roda juga menyumbang kepada
gangguan terhadap sumber biodiversiti akibat daripada tumpahan minyak. Menurut Jaffry & Benderi (2006),
aktiviti pacuan empat roda juga boleh mengakibatkan
pencemaran air yang serius akibat hakisan denai-denai dan anak sungai yang juga terdedah kepada pencemaran minyak kenderaan yang digunakan. Sekalipun kuantitinya dalam jumlah yang kecil
namun ianya tetap memberi impak yang besar
kepada sumber biodiversiti. Pengangkutan melalui udara, air dan darat
adalah sumber utama penyumbang kepada peningkatan bilangan jumlah
pelancong yang datang. Menurur Weed & Bull (2004), pelancongan sememangnya mempengaruhi pembangunan di dalam
arena pengangkutan. Walau bagaimanapun penggunaan pengangkutan ini jika
secara berlebihan akan menyebabkan kepada peningkatan pencemaran udara dan
bunyi disebabkan oleh asap-asap pengangkutan tersebut dan bunyi yang
dihasilkan. Penambahan dan peningkatan pengeluaran
karbon monoksida akan menyebabkan penipisin ozon dari masa ke semasa secara
tidak langsung akan memberi impak yang kuat kepada rumah hijau. Pencemaran
bunyi daripada kapal terbang, kereta dan bas serta pengangkutan rekreasi yang
lain seperti jet ski dan juga bot merupakan masalah yang semakin berkembang
dalam kehidupan moden hari ini.