Sistem ekonomi di Malaysia pada abad
ke-19 sehingga tahun 1963 boleh dikategorikan kepada 2 bentuk yang utama
iaitu sistem ekonomi sara diri dan sistem ekonomi komersil. Bentuk dan
kegiatan ekonomi yang mereka amalkan adalah dipengaruhi daripada sistem
pemerintahan pada masa dahulu. Sebagai contoh, rakyat biasa menjadi
petani, pedagang; pembesar pula menjadi pemilik tapak perlombongan dan
sebagainya.
Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi
yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian
keluarga. Maknanya, hasil kegiatan ekonomi akan digunakan untuk keluarga
mereka. Segala kelebihan pengeluaran akan dijual, hasil jualan tersebut
akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain yang juga
menjadi asas keperluan seperti pakaian dan sebagainya. Kegiatan ekonomi
sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut
hasil hutan. Kegiatan sebegini tidak memerlukan penggunaan mata wang
yang banyak.
Sistem ekonomi komersil hanya wujud di
Tanah Melayu setelah kehadiran penjajah British pada abad ke-19.
Kehadiran mereka telah mempergiatkan bentuk ekonomi tersebut
memandangkan mereka mengutip cukai daripada rakyat, memaksa rakyat
mendapatkan duit tunai. Ini kerana mereka yang gagal menjelaskan cukai
akan dihukum. Salah satu perkembangan yang nyata semasa itu dapat
dilihat dalam sektor perdagangan dan perlombongan.
Malaysia merupakan sebuah negara
berpendapatan sederhana dan berubah daripada sebuah negara pengeluar
bahan mentah seperti getah, bijih timah dan sebagainya pada 1971 kepada
negara berekonomi pelbagai sektor melalui Dasar Ekonomi Baru. Pada
dasarnya, pertumbuhan Malaysia adalah bergantung kepada eksport bahan
elektronik seperti cip komputer dan sebagainya. Akibatnya, Malaysia
merasai tekanan hebat semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dan kemerosotan
dalam sektor teknologi maklumat pada tahun 2001. KDNK pada tahun 2001
hanya meningkat sebanyak 0.3% disebabkan pengurangan 11% dalam bilangan
eksport tetapi pakej perangsang fiskal yang besar telah mengurangkan
kesan gawat tersebut.
Malaysia mempunyai persekitaran
makroekonomi yang stabil (di mana kadar inflasi dan kadar pengangguran
kekal di bawah 3%), simpanan pertukaran wang asing yang sihat, dan
hutang luar yang kecil. Ini membolehkan Malaysia untuk tidak lagi
mengalami krisis yang sama seperti Krisis Kewangan Asia pada 1997.
Walaubagaimanapun, prospek jangka panjang kelihatan agak kabur
disebabkan kurangnya perubahan dalam sektor korporat terutama sekali
sektor yang berurusan dengan hutang korporat yang tinggi dan kompetitif.