Wednesday, November 27, 2013

Pelancongan dan Globalisasi

Pertubuhan Pelancongan Sedunia menganggarkan ketibaan pelancong di seluruh dunia mencecah 1.0 bilion menjelang 2010. Daripada jumlah tersebut, 791 juta atau 80 peratus merupakan pelancong serantau manakala bakinya pelancong jarak jauh. Rantau Asia Timur dan Pasifik dijangka menerima 200 juta pelancong. Walaupun persaingan semakin meningkat di kalangan negara untuk menarik pelancong, sektor pelancongan di Malaysia dijangka menerima manfaat daripada pertumbuhan pelancongan antarabangsa dalam tempoh RMKe-9. Ketibaan pelancong ke Malaysia dijangka meningkat pada kadar purata Sehubungan ini, pendapatan pelancongan dijangka meningkatpada kadar tahunan purata 13.9 peratus kepada RM59.4 bilion pada tahun 2010 dan dijangka memberi sumbangan besar kepada jumlah pendapatan dalam akaun perkhidmatan imbangan pembayaran.

Negara-negara ASEAN yang berdekatan terutamanya Singapura dan Thailand akan terus menjadi penyumbang terbesar ketibaan pelancong ke negara ini. Malaysia akan menerima manfaat daripada perdagangan pelancongan yang lebih giat antara negara ASEAN melalui usaha menggalakkan kerjasama serantau dalam pertukaran budaya dan maklumat, pembangunan pakej pelancongan bersama dengan harga yang menarik dan penyediaan aturan perjalanan khas untuk pelancong dari ASEAN. Peningkatan usaha pembangunan bersama di bawah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand dijangka meningkatkan aktiviti pelancongan merentasi sempadan. Di samping itu, peningkatan kerjasama di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) akan diteruskan bagi menggalakkan aktiviti kembara dan siar di kalangan negara berkenaan.

Di luar ASEAN, China termasuk Taiwan dan Hong Kong SAR, diambil kira sebagai satu kumpulan dijangka menjadi sebuah pasaran pelancong terbesar diikuti oleh India dan Asia Barat. Penekanan akan diberi bagi menarik minat pelancong yang berpotensi dari pasaran tradisional seperti Eropah, UK, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat yang ingin melancong ke Malaysia. Dengan pemilihan Kuala Lumpur sebagai Pusat Pelancongan Komanwel bagi jangka masa tiga tahun, Malaysia akan mengukuhkan kerjasama pelancongan dengan negara Komanwel dan Eropah.

Dalam RMKe-9, starategi akan ditumpukan untuk merealisasikan potensi pelancongan sebagai sumber pertumbuhan penting dari segi pendapatan tukaran wang asing , pembangunan keusahawanan dan pewujudan pekerjaan. Usaha akan dipergiat bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong global. Sehubunagn ini, teras starategik adalah seperti berikut:

a) memastikan pembangunan pelancongan mampan;

b) meningkatkan pembangunan produk dan perkhidmatan pelancongan yang inovatif;

c) menggalakkan dan memudahkan pelancongan domestik;

d) menggiatkan aktiviti pemasaran dan promosi;

e) meningkatkan pembangunan sumber manusia; dan menjamin keselesaan, keselamatan dan kebajikan pelancong.

Pembangunan Pelancongan Mampan

 Pendekatan yang lebih bersepadu dalam perancangan dan pelaksanaan pelancongan akan dilaksana bagi memastikan pembangunan mampan industri tersebut. Penekanan akan diberi bagi mengekalkan dan meningkatkan aset semula jadi dan budaya sedia ada yang rentan kepada pencemaran alam sekitar. Pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat digalakkan supaya lebih aktif dalam penyediaan, pelaksanaan dan penyenggaraan projek bagi memastikan kesan yang mempengaruhi persekitaran diminimumkan.

Peranan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri akan diperkukuh bagi meliputi pemantauan, pengawasan dan penilaian yang kerap terhadap hasil projek. Pengukuhan ini adalah bagi memastikan, antara lain, penilaian impak alam sekitar dan garis panduan berkaitan terus menjadi pertimbangan yang penting apabila merangka dan melaksana projek dan infrastruktur berkaitan. Di samping itu, pembekal produk dan perkhidmatan pelancongan perlu memenuhi kriteria khusus dan garis panduan ke atas had tampung kawasan pelancongan yang sensitif seperti pulau, tanah tinggi dan kawasan persisiran pantai. Pelan pelaksanaan, pengurusan dan penyenggaraan dalam program dan projek pelancongan terutamanya pembinaan hotel dan rumah peranginan perlu mengambil kira, antara lain,aspek penjimatan air dan elektrik serta pembuangan sisa kumbahan.

Produk dan Perkhidmatan Pelancongan

 Pembangunan produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif akan digalakkan bagi memenuhi minat dan cita rasa yang berlainan di kalangan pelancong bagi meningkatkan ketibaan pelancong, memanjangkan tempoh penginapan dan meningkatkan perbelanjaan pelancong tempatan dan luar negara. Di samping itu, agensi kembara dan siar digalakkan untuk meningkatkan reka bentuk, daya tarikan dan pemasaran pakej pelancongan dengan memberikan perhatian terhadap minat tertentu, kualiti dan harga bagi memenuhi kehendak pelancong yang pelbagai.

1- Ekopelancongan. Penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada ekopelancongan melalui pemuliharaan tarikan semula jadi seperti pusat perlindungan haiwan liar, taman negara, tanah tinggi dan pulau. Pelbagai acara pengembaraan dan lawatan serta ekspedisi khas akan disediakan supaya pelancong boleh menyertai pelbagai aktiviti berkaitan alam semula jadi terutamanya di Taman Negara di Semenanjung Malaysia, Taman Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Bako di Sarawak. Bagi menarik lebih ramai pelancong, aktiviti sukan lasak ekopelancongan akan dianjurkan di tempat seperti di Pulau Papan, Wilayah Persekutuan Labuan; Sungai Tembeling, Pahang; dan Pulau Pinang. Di samping itu, kemudahan pelancongan seperti pusat maklumat dan penerangan serta kemudahan awam akan disediakan dan dinaik taraf.

 2-Agropelancongan dan Program Inap Desa. Lebih banyak aktiviti nilai ditambah akan disediakan di bawah agropelancongan dan Program Inap Desa seperti tinggal di dusun dan melawat taman pertanian serta pusat penyelidikan. Tetamu akan digalakkan melawat tempat kraf tangan dan menyertai aktiviti seperti membuat pasu, melukis batik, menganyam bakul dan menenun songket.

 3-Pelancongan Warisan. Pemuliharaan tempat bersejarah, bangunan dan bahan artifak akan terus menjadi salah satu langkah bagi memelihara peninggalan sejarah negara serta menambah bilangan tarikan pelancong. Bagi melaksanakan strategi ini, beberapa tempat dan bangunan bersejarah dikenal pasti untuk dipulihara dalam tempoh Rancangan. Tempat tersebut termasuk Kota Kuala Muda di Kedah, Fort Alice di Sarawak dan kawasan neolitik Bukit Tengkorak di Sabah. Laluan bersejarah turut dibangunkan berdasarkan tema tertentu seperti warisan Baba Nyonya, era Portugis dan Belanda di Melaka, kawasan tinggalan perang di Kota Bharu serta Bunga Mas di Kedah dan Kelantan.

Promosi pelancongan pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi membangunkan Malaysia sebagai destinasi pilihan oleh pelajar antarabangsa. Pendapatan tukaran asing dari sumber pertumbuhan yang berpotensi ini dianggar sebanyak RM900 juta menjelang tahun 2010. Sehubungan ini, jumlah Pusat Penggalakan Pendidikan Malaysia di bandar terpilih di seluruh dunia akan ditingkatkan. Usaha mempromosi pelancongan kesihatan akan dipergiat bagi menempatkan Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan yang baru di dunia. Sehubungan ini, sektor swasta akan digalakkan menyertai pelbagai pameran perdagangan dan ekspo bagi mempamerkan perkhidmatan kesihatan Malaysia dalam rawatan perubatan tradisional dan moden. Menjelang tahun 2010, pelancongan kesihatan dijangka menghasilkan pendapatan berjumlah RM2.0 bilion.

Pelancongan Domestik

 Pelancongan domestik akan terus diutamakan dan dimajukan supaya menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan. Program untuk mempromosi kembara dan siar domestik akan menumpukan kepada usaha memupuk budaya merancang percutian di kalangan masyarakat Malaysia dan menggalakkan rakyat tempatan menjelajah ke pelbagai tempat pelancongan yang menarik dalam negara. Sehubungan ini, pelbagai pameran, pesta dan acara khusus akan dianjur bagi mempromosi pakej pelancongan dengan harga berpatutan dan meningkatkan kesedaran jenama pelancongan domestik sepanjang tahun. Pakej pelancongan Cuti-cuti Malaysia, program pelancongan pelajar dan bas rombongan bagi kumpulan pelancong yang khusus akan terus dipromosi secara giat bagi meningkatkan kembara dan siar domestik.

 Bagi meningkatkan kembara dan siar domestik, sektor swasta akan digalakkan menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih baik serta pelbagai penginapan daripada yang termahal kepada kadar mampu sewa bagi memenuhi keperluan kumpulan sasar yang berbeza. Di samping itu, penambahan kapasiti terminal LCC dan laluan yang berdaya saing dijangka memudahkan lagi perjalanan domestik. Agensi pelancongan Kerajaan Persekutuan dan negeri akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam menganjurkan kempen pemasaran melalui pameran di setiap negeri bagi mempromosi pelancongan domestik di negeri berkenaan.

Pemasaran dan Promosi

 Tujuan utama pemasaran dan promosi adalah untuk menaikkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan. Usaha pemasaran dan promosi akan dipertingkatkan bagi mengekalkan daya saing dan tarikan produk dan perkhidmatan pelancongan. Tema Malaysia Truly Asia akan terus dimanfaatkan bagi mengukuhkan tema tersebut sebagai imej yang unik dan dikenali oleh pelancong antarabangsa. Sehubungan ini, aktiviti pemasaran dan promosi berbilang serampang terutamanya bagi Tahun Melawat Malaysia 2007 (VMY 2007) akan dilaksanakan secara agresif melalui penglibatan aktif dalam ekspo perdagangan, pameran dan misi jualan. Aktiviti tersebut bertujuan mengekalkan kehadiran pelancong dari pasaran jarak dekat, meningkatkan pelancong dari pasaran jarak sederhana yang berkembang pesat dan menggiatkan semula pasaran tradisional jarak jauh. VMY 2007 juga turut dijadikan faktor bagi menambahkan jumlah kehadiran pelancong dan kedatangan semula pelancong serta menarik minat pelancong agar berbelanja besar dan tinggal lebih lama di Malaysia. Perancangan dan pelaksanaan aktiviti promosi VMY2007 akan dilaksanakan sempena Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia ke-50.

 Sebagai usaha promosi dan pemasaran VMY 2007, aktiviti promosi dan publisiti yang lebih giat akan dianjurkan di peringkat domestik dan antarabangsa. Pelbagai langkah akan diambil bagi memudahkan prosedur imigresen di pintu masuk ke Malaysia. Usaha juga akan dilaksanakan bagi membentuk dan memasarkan pakej pelancongan istimewa bagi memenuhi keperluan pelancong dari pelbagai destinasi. Laman web sedia ada akan dinaik taraf menjadi portal pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan untuk mempercepatkan transaksi dalam talian bagi perniagaan ke perniagaan serta perniagaan ke pengguna. Pembekal perkhidmatan digalakkan menggunakan portal tersebut bagi pengiklanan produk dan perkhidmatan serta menguruskan aktiviti jualan. Portal ini akan membekalkan maklumat mengenai, antara lain, penginapan, pengangkutan, tempat menarik dan acara kebudayaan. Di samping itu, urusan pakej kembara dan siar yang lengkap serta pembayaran dalam talian boleh dilakukan. Portal ini juga akan memudahkan pengumpulan data dan kajian terhadap minat dan pilihan pelanggan bagi meningkatkan perancangan dan mereka bentuk semula produk dan memperkemas perkhidmatan.

Pelaburan

 Pembangunan yang dijangka dalam industri pelancongan memerlukan penambahan kemudahan dan infrastruktur berkaitan pelancongan. Sektor awam akan melengkapkan usaha sektor swasta dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.0 bilion bagi tujuan menaik taraf dan menyenggara kemudahan sedia ada seperti taman awam, laluan pejalan kaki dan basikal, kawasan rehat dan rawat serta kemudahan asas yang lain. Infrastruktur yang lebih baik akan dibina termasuk pembangunan pusat maklumat pelancongan serta akses yang lebih baik melalui jalan raya, rel, jeti dan jambatan ke destinasi pelancongan yang popular.

 Dalam usaha meneruskan promosi Malaysia sebagai destinasi pilihan di rantau ini, sektor swasta digalakkan membangunkan produk dan perkhidmatan pelancongan yang inovatif untuk memenuhi permintaan pasaran yang berbeza serta membangunkan pasaran terpilih yang berpotensi. Bagi tujuan ini, peruntukan insentif akan dipertimbangkan untuk pembangunan produk khusus seperti ekopelancongan, produk kebudayaan dan MICE. Penekanan diberikan dalam mempakej semula tarikan sedia ada serta membangunkan produk kembara dan siar yang baru. Aktiviti pemasaran dan promosi akan diselaraskan dengan segmen pasaran utama bagi meningkatkan pelancongan dari luar negara serta pelancongan domestik.

 Industri pelancongan menawarkan skop yang luas bagi daya cipta dan inovasi serta pembangunan usahawan dengan pelbagai peluang pelaburan termasuk pembinaan hotel dan rumah peranginan serta penyediaan pelbagai perkhidmatan dan tarikan pelancong. Peluang tersebut dijangka menarik minat penyertaan Bumiputera dalam aktiviti komersil dan perniagaan berkaitan pelancongan. Enterpris kecil dan sederhana (EKS) digalakkan menyertai pembangunan perniagaan sedia ada dan baru seperti penyediaan makanan, perkhidmatan rekreasi dan pembangunan produk kraf tangan. Dari segi pembiayaan, dana TIF dan Tabung Khas akan ditambah bagi menyediakan sumber pembiayaan alternatif kepada pelabur yang berpotensi. Pakej pelaburan khusus akan dibangunkan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran pelancongan yang sedang berkembang dan menubuhkan operasi pelancongan di pasaran baru dan baru muncul seperti di Asia Barat, China dan India.

Pembangunan Sumber Manusia

 Bagi memenuhi permintaan sumber manusia yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang pengurusan, penyeliaan dan teknikal terutamanya bagi subsektor hotel dan pelancongan, penyediaan program latihan yang berkaitan akan diutamakan. NTHRDC bersama MLVK dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Lembaga Akreditasi Pelancongan akan menyelaras latihan teknikal dan vokasional serta pengurusan dan penyeliaan. Sehubungan ini, kerjasama sektor awam dan sektor swasta akan digalakkan bagi memastikan output selaras dengan keperluan industri pelancongan yang semakin canggih. NOSS sedia ada akan dikaji semula dari semasa ke semasa oleh MLVK bagi memastikan kesesuaian standard kemahiran bagi memenuhi permintaan industri pelancongan. Pelajar sekolah akan diberikan pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam industri pelancongan manakala institusi pendidikan tinggi digalakkan menawarkan pelbagai jenis kursus berkaitan pelancongan. Pemandu pelancong akan terus dilatih manakala yang baru akan menjalani latihan secara intensif bagi memastikan perkhidmatan berkualiti diberikan. Pemandu pelancong juga digalakkan mempelajari bahasa asing terutamanya bahasa Arab, Jepun, Jerman dan Sepanyol.

Pakatan Strategik dan Perkongsian Pintar

 Bagi meningkatkan lagi promosi sektor pelancongan, Kerajaan akan terus membantu memupuk pakatan strategik global dan serantau dan perkongsian pintar antara Kerajaan, organisasi pelancongan dan sektor swasta. Perkongsian ini akan mewujudkan nama baik bagi Malaysia dan meningkatkan lagi kerjasama di kalangan negara lain dan seterusnya menggalakkan pelancongan antara 217 negara melalui aktiviti mesyuarat dan persidangan. Pembekal perkhidmatan kembara dan siar, pembekal perkhidmatan pengangkutan, organisasi MICE, pengusaha hotel dan operator di destinasi pelancongan digalakkan bekerjasama antara mereka supaya dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelancong. Di samping itu, dengan peningkatan liberalisasi dalam perkhidmatan pelancongan di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN Mengenai Perkhidmatan, usaha giat akan dijalankan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi utama dan destinasi persinggahan di kalangan negara ASEAN serta rantau Asia Pasifik.

Peningkatan Akses

 Dalam tempoh Rancangan RMK9, pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi meningkatkan akses ke negara ini dan dalam negara. Sehubungan ini, perkhidmatan di pintu masuk, rangkaian pengangkutan antara bandar dan tempat peranginan serta akses kepada perkhidmatan komunikasi terutamanya kemudahan Internet akan dipertingkatkan. Infrastruktur dan kemudahan pengangkutan udara, darat dan laut akan dinaik taraf bagi membantu pertumbuhan industri pelancongan. Penambahbaikan termasuk memperkenalkan permohonan visa dalam talian dan penyediaan permit masuk berbilang akan terus dilaksanakan bagi membantu kelancaran perjalanan.

 Kekerapan dan kapasiti penerbangan antara Malaysia dengan pasaran tertentu akan ditambah bagi memudahkan pelancong dari luar negara melawat Malaysia. Langkah lain termasuk berkongsi kod operasi dengan syarikat penerbangan lain serta menggalakkan lagi syarikat penerbangan asing beroperasi di negara ini. Liberalisasi perkhidmatan penerbangan di rantau ASEAN pada tahun 2008 akan mempertingkatkan akses ke bandar negara ASEAN dan seterusnya mempromosi pelancongan serantau. Lapangan Terbang Kota Kinabalu akan diperbesar bagi pembangunan hab LCC yang kedua di Malaysia selepas KLIA.

Penyelidikan dan Perancangan

 Usaha bagi memastikan pembangunan pelancongan yang mampan termasuk menggunakan pendekatan yang lebih bersepadu dalam perancangan dan pelaksanaan projek. Usaha ini memerlukan penyelidikan dan penilaian impak yang berterusan ke atas program dan projek berkaitan pelancongan. Penyelidikan dan risikan pemasaran dengan kerjasama pihak swasta akan terus dijalankan untuk menganalisis profil pelancong dan trend pelancongan global dan domestik. Di samping itu, Akaun Satelit Pelancongan (TSA) akan dibangunkan sepenuhnya. Mekanisme TSA boleh, antara lain, mengira sumbangan sektor pelancongan kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pendapatan negara bagi membantu penggubalan dasar serta pengubahsuaian strategi dan program bagi industri pelancongan.



Monday, November 18, 2013

PULAU PERHENTIAN


Pulau Perhentian salah satu destinasi ekopelancongan berasaskan pulau dan pesisir pantai yang terdapat di Malaysia.  Asalnya, Pulau Perhentian diberi nama berdasarkan tumpuan peniaga Malaysia dan Bangkok untuk berhenti dan berehat sebelum menyelesaikan urusan mereka atau dianggap sebagai ‘tempat untuk berhenti’ (http://www.perhentian.com.my).  Lokasi pulau ini adalah 10 batu nautika atau lebih kurang 19 kilometer daripada pesisir pantai di Negeri Terengganu.  Keluasan keseluruhan pulau adalah 1,392.15 hektar.  Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing di mana boleh mencapai setinggi 70 km hingga 300 km.  Guna tanah utama di pulau ini ialah penempatan pelancong dan hutan, manakala wujud hanya sebuah kawasan penempatan iaitu di Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil yang berkeluasan 9.87 hektar.  Kawasan penempatan ini seluas 9.87 hektar. Penempatan ini telah telibat dengan Program Penyusunan Semula Kampung nelayan Tradisional. Melalui program ini, pembinaan rumah dilaksanakan secara lebih teratur dan tersusun (Majlis Daerah Kuala Besut, 2013). 

Gugusan kepulauan ini merangkumi 9 buah pulau, iaitu Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Rawa, Tokong Burung, Tokong Bopeng, Susu Dara Kechil, Susu Dara Besar, Serenggeh dan Tokong Laut (rujuk rajah 1).  Hampir kesemua tempat penginapan pelancongan adalah resort dan terletak di Perhentian Besar. Bot digunakan sebagai alat pengangkutan bagi menghubungkan Pulau Perhentian dengan daratan.  Dari daratan pelancong manaiki bot di jeti yang terdapat di Kuala Besut. Masa perjalanan bergantung kepada jenis bot yang dinaiki, sama ada bot laju (setengah jam) atau bot perlahan (satu jam setengah)  (Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu, 2013) .  Di Pulau Perhentian Besar, kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk Dalam. Pulau Perhentian Kecil pula tumpuan pelancong adalah di Kampung Pasir Panjang dan Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur (rujuk peta rajah 1 dan 2).  Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesis pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut,Kelat Laut dan Rhu.  Mengikut kajian yang telah dijalankan terdapat lebih kurang 50 spesis batu karang ditemui di sekitar pulau tersebut.  Antara tumpuan terumbu batu karang adalah Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas Laut, teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pelau Perhentian Besar Selain itu enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar untuk bertelur, walaupun bilangannya semakin berkurangan (Pelan Pembangunan Penduduk dan Pelancongan Lestari Pulau Perhentian, 2012).  Antara pantai tersebut iaitu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil, manakala di Pualau Perhentian Besar pula tertumpunya di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu.  Malahan juga, wujudnya spesis burung layang-layang (Walet) yang tinggal di dalam gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya (Majlis Daerah Besut, 2013).

                                              

Kedudukan Pulau Perhentian di Malaysia.


Asalnya pulau ini diduduki  oleh komuniti terawal yang berasal dari Kepulauan Riau.  Batin Mina dikatakan merupakan orang pertama membuka kawasan petempatan di Pulau Perhentian.  Ia juga mempunyai 1,393 petempatan yang didiami oleh penduduk tempatan yang terdiri oleh 98.8 peratus kaum Melayu beragama Islam.  Sebanyak 58.4 peratus didiami oleh penduduk asal pulau ini, 38.7 peratus adalah pendatang daripada luar pulau yang merupakan warganegara dan 2.9 peratus pendatang bukan warganegara Malaysia (Yahaya Ibrahim, 2007).  Sebelum ini aktiviti ekonomi utama bagi penduduk tempatan adalah perikanan.  Setelah kecantikan sumber yang terdapat di pulau itu dimanfaatkan, industri pelancongan telah berkembang dengan pesat. Setelah Pulau Perhentian digazetkan sebagai taman laut, aktiviti perikanan menjadi terhad dan sejumlah besar penduduk terlibat dengan sektor pelancongan.  Pada tahun 2007, didapati 39.9 peratus (69 ketua isi rumah) telah melibatkan diri dalam sektor pelancongan termasuk sebagai pengusaha chalet (10.4 peratus), pengusaha bot pelancongan sebanyak 14.5 peratus dan bekerja di pusat pelancongan sama ada sebagai pembantu atau pemandu pelancong sebanyak 15 peratus.  Kini, sektor tradisional di pulau ini diusahakan oleh kurang 20.0 peratus oleh penduduk pulau (Yahaya Ibrahim, 2007). 
Kemudahan yang terdapat di Pulau Perhentian termasuklah pusat peranginan mewah, chalet bertaraf sederhana dan rendah, asrama serta kawasan perkhemahan. Tahap kualiti air yang tinggi serta kepelbagaian hidupan marin menyebabkan banyak aktiviti yang boleh dijalankan seperti scuba, flying fox, snorkeling, menaiki bot, perkhemahan dan pendaratan penyu (rujuk  (http://www.wonderfulmalaysia.com /perhentian-island).  Selain itu juga, Pulau Perhentian mempunyai beberapa tarikan seperti pulau-pulau lain.  Antaranya ialah terdapatnya beberapa laluan mendaki yang mana tidak mempunyai jalan namun diterangi cahaya dan tidak mengambil masa lebih dari 30 minit untuk menyelesaikan pendakian tersebut.  Malahan juga, pulau ini diduduki oleh hidupan liar yang bersaiz kecil seperti kelawar buah-buahan, monyet, dan beberapa spesis burung pulau.   Tarikan seterusnya adalah tarikan snorkeling.  Banyak resort di pulau ini mempunyai terumbu karang tersendiri, ini bermakna pengunjung boleh snorkel secara terus dari resort yang didiami. Malah, di sini terdapat banyak pusat menyelam (scuba diving).  Alat-alat menyelam juga boleh didapati dengan mudah dengan harga sewaan yang berpatutan.







Jom kenali MELAKA

PENGIKTIRAFAN MELAKA & GEORGE TOWN KE SENARAI WARISAN DUNIA
Melaka dan George Town telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia yang pertama dan kedua dalam kategori tapak budaya. Ciri-ciri budaya dan alam binaan yang terdapat di Melaka adalah hasil dari sejarahnya yang gemilang di mana Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan dan kebudayaan sejak 500 tahun yang lampau dan menjadi penghubung kepada kuasa Timur dan Barat.
Penyenaraian Melaka dan George Town berdasarkan kriteria yang digariskan para 77 ‘Operational Guideline for Implementation’ oleh Persidangan Warisan Dunia. (World Heritage Convention)‏ Pencalonan Melaka sebagai ‘Historic Cities Of The Straits of Malacca: Melaka and George Town’ bertepatan dengan Nilai Keunggulan Sejagat dan kriteria-kriteria berikut:-

Nilai Keunggulan Sejagat (Outstanding Universal Value)

Budaya masyarakat majmuk di bandar-bandar yang hidup

1) Ciri-ciri bandar yang hidup dihuni oleh masyarakat pelbagai budaya yang terhasil daripada pengaruh luaran sejak 1400an hingga sekarang. Ia menunjukan perubahan pada bentuk dan bandar di Malaysia yang masyarakatnya dan budayanya berkembang di Bandar Melaka Bersejarah ini.
2) Kriteria II - “Menonjolkan kepentingan perubahan dalam nilai kemanusiaan, dalam sesuatu jangkamasaatau di dalam ruang lingkup budaya sedunia, dalam perkembangan seni bina atau teknologi, kesenian monumen, perancangan bandar dan rekabentuk landskap”
3) Kriteria III - ‘mengandungi keunikan atau pengaruh yang kuat terhadap tradisi budaya atau mempengaruhi peradaban yang masih kekal atau yang telah hilang’
4) Kriteria IV - ‘menjadi contoh yang baik terhadap jenis-jenis bangunan, mengemukakan gaya senibina dan perkembangan teknologi atau lanskap yang menonjolkan peringkat signifikan dalam sejarah manusia’




more info for MELAKA

Sunday, September 22, 2013

Pencapaian Malaysia : EKONOMI

Sistem ekonomi di Malaysia pada abad ke-19 sehingga tahun 1963 boleh dikategorikan kepada 2 bentuk yang utama iaitu sistem ekonomi sara diri dan sistem ekonomi komersil. Bentuk dan kegiatan ekonomi yang mereka amalkan adalah dipengaruhi daripada sistem pemerintahan pada masa dahulu. Sebagai contoh, rakyat biasa menjadi petani, pedagang; pembesar pula menjadi pemilik tapak perlombongan dan sebagainya.
    Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian keluarga. Maknanya, hasil kegiatan ekonomi akan digunakan untuk keluarga mereka. Segala kelebihan pengeluaran akan dijual, hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain yang juga menjadi asas keperluan seperti pakaian dan sebagainya. Kegiatan ekonomi sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut hasil hutan. Kegiatan sebegini tidak memerlukan penggunaan mata wang yang banyak.
    Sistem ekonomi komersil hanya wujud di Tanah Melayu setelah kehadiran penjajah British pada abad ke-19. Kehadiran mereka telah mempergiatkan bentuk ekonomi tersebut memandangkan mereka mengutip cukai daripada rakyat, memaksa rakyat mendapatkan duit tunai. Ini kerana mereka yang gagal menjelaskan cukai akan dihukum. Salah satu perkembangan yang nyata semasa itu dapat dilihat dalam sektor perdagangan dan perlombongan.
    Malaysia merupakan sebuah negara berpendapatan sederhana dan berubah daripada sebuah negara pengeluar bahan mentah seperti getah, bijih timah dan sebagainya pada 1971 kepada negara berekonomi pelbagai sektor melalui Dasar Ekonomi Baru. Pada dasarnya, pertumbuhan Malaysia adalah bergantung kepada eksport bahan elektronik seperti cip komputer dan sebagainya. Akibatnya, Malaysia merasai tekanan hebat semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dan kemerosotan dalam sektor teknologi maklumat pada tahun 2001. KDNK pada tahun 2001 hanya meningkat sebanyak 0.3% disebabkan pengurangan 11% dalam bilangan eksport tetapi pakej perangsang fiskal yang besar telah mengurangkan kesan gawat tersebut.
    Malaysia mempunyai persekitaran makroekonomi yang stabil (di mana kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal di bawah 3%), simpanan pertukaran wang asing yang sihat, dan hutang luar yang kecil. Ini membolehkan Malaysia untuk tidak lagi mengalami krisis yang sama seperti Krisis Kewangan Asia pada 1997. Walaubagaimanapun, prospek jangka panjang kelihatan agak kabur disebabkan kurangnya perubahan dalam sektor korporat terutama sekali sektor yang berurusan dengan hutang korporat yang tinggi dan kompetitif.