Sunday, September 22, 2013

Pencapaian Malaysia : EKONOMI

Sistem ekonomi di Malaysia pada abad ke-19 sehingga tahun 1963 boleh dikategorikan kepada 2 bentuk yang utama iaitu sistem ekonomi sara diri dan sistem ekonomi komersil. Bentuk dan kegiatan ekonomi yang mereka amalkan adalah dipengaruhi daripada sistem pemerintahan pada masa dahulu. Sebagai contoh, rakyat biasa menjadi petani, pedagang; pembesar pula menjadi pemilik tapak perlombongan dan sebagainya.
    Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan atau sekadar mampu untuk menampung keperluan harian keluarga. Maknanya, hasil kegiatan ekonomi akan digunakan untuk keluarga mereka. Segala kelebihan pengeluaran akan dijual, hasil jualan tersebut akan digunakan untuk membeli barangan keperluan yang lain yang juga menjadi asas keperluan seperti pakaian dan sebagainya. Kegiatan ekonomi sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut hasil hutan. Kegiatan sebegini tidak memerlukan penggunaan mata wang yang banyak.
    Sistem ekonomi komersil hanya wujud di Tanah Melayu setelah kehadiran penjajah British pada abad ke-19. Kehadiran mereka telah mempergiatkan bentuk ekonomi tersebut memandangkan mereka mengutip cukai daripada rakyat, memaksa rakyat mendapatkan duit tunai. Ini kerana mereka yang gagal menjelaskan cukai akan dihukum. Salah satu perkembangan yang nyata semasa itu dapat dilihat dalam sektor perdagangan dan perlombongan.
    Malaysia merupakan sebuah negara berpendapatan sederhana dan berubah daripada sebuah negara pengeluar bahan mentah seperti getah, bijih timah dan sebagainya pada 1971 kepada negara berekonomi pelbagai sektor melalui Dasar Ekonomi Baru. Pada dasarnya, pertumbuhan Malaysia adalah bergantung kepada eksport bahan elektronik seperti cip komputer dan sebagainya. Akibatnya, Malaysia merasai tekanan hebat semasa kegawatan ekonomi pada 1998 dan kemerosotan dalam sektor teknologi maklumat pada tahun 2001. KDNK pada tahun 2001 hanya meningkat sebanyak 0.3% disebabkan pengurangan 11% dalam bilangan eksport tetapi pakej perangsang fiskal yang besar telah mengurangkan kesan gawat tersebut.
    Malaysia mempunyai persekitaran makroekonomi yang stabil (di mana kadar inflasi dan kadar pengangguran kekal di bawah 3%), simpanan pertukaran wang asing yang sihat, dan hutang luar yang kecil. Ini membolehkan Malaysia untuk tidak lagi mengalami krisis yang sama seperti Krisis Kewangan Asia pada 1997. Walaubagaimanapun, prospek jangka panjang kelihatan agak kabur disebabkan kurangnya perubahan dalam sektor korporat terutama sekali sektor yang berurusan dengan hutang korporat yang tinggi dan kompetitif.