Monday, December 16, 2013

Pelancongan dan globalisasi

Istilah globalisasi mula digunakan pada pertengahan kedua dekad 1980-an dan menjadi paradigma yang berpengaruh sejak tahun 1990-an.  Menurut Waters (1995), globalisasi ialah proses pemampatan masa dan ruang dalam setiap hubungan social dan kemunculan proses pemampatan tersebut disedari masyarakat.  Proses ini menyebabkan dunia seolah-olah suatu pasaran terbuka yang tiada sempadan.  Seterusnya globalisasi juga boleh dianggap sebagai “…suatu proses transformasi dunia yang dikatakan bermula dan akan terus menghubungkaitkan semua kawasan dunia dalam satu system yang agak sejagat sifatnya…” (Ishak Shari 2000)
            Pada masa kini ledakan globalisasi dikatakan telah meningkatkan lagi aktiviti ekonomi yang bersifat terbuka dan bebas.  “…Berikutan daripada proses globalisasi yang aktif, persoalan yang penting dan perlu diketengahkan ialah kemampuan serta daya tahan negara menghadapi cabaran yang begitu mendadak dan seterusnya menjamin pertumbuhan industry-industri tempatan yang kukuh dan Berjaya menembusi pasaran antarabangsa. 
            Industri pelancongan merupakan antara industry yang paling terdedah kepada proses globalisasi.  Appadurai (1995), Lash dan Urry (1994) dan Cheater (1995) telah mengiktiraf pelancongan sebagai salah satu aspek globalisasi.  Industry ini dilihat sebagai “…industry yang paling pantas berkembang serta mempengaruhi pelbagai perkara meliputi sosiopolitik, kewangan dan juga ekologi.” (Cheater,1995:125).  Ini memandangkan aktiviti pelancongan diceburi oleh semua golongan, semua perigkat dan semua negara.  Oleh itu, impak yang bakal diterima meliputi semua pihak yang bergiat dalam industry ini, daripada para pengusaha pelancongan bertaraf korporat, hinggalah kepada operator bot pelancong kecil-kecilan.          
            Seterusnya, globalisasi juga dikatakan menjadi pencetus peralihan arah aktiviti pembangunan pelancongan di negara membangun daripada berorientasikan domestic kepada global yang bertujuan untuk memastikan negara memperoleh manfaat yang tinggi dalam pertukaran mata wang (Dwyer 1997).  Kaedah ini digunakan oleh kebanyakan negara membangun memandangkan keupayaan mereka menggerakkan proses industrialisasi adalah rendah.  Bagi negara-negara yang masih baharu bergiat dalam bidang ini, sememangnya bergantung pada negara-negara maju yang telah kukuh menguasai bidang pelancongan ini dalam konteks mendapatkan pasaran, modal, kepakaran dan juga teknologi yang berkaitan.  Kemasukan negara membangun ke dalam pasaran pelancongan global juga membuktikan akan pentingnya industry ini demi pertumbuhan ekonomi negara.  Oleh itu, dalam usaha mencari alternative pembangunan ekonomi yang tidak memerlukan modal yang besar, hampir semua negara membangun memilih industry pelancongan sebagai industry penjana ekonomi.  Keadaan ini dapat dilihat semasa sebelum berlaku kegawatan ekonomi dunia pada hujung tahun 1977, apabila negara-negara membangun meraih pendapatan berlipat kali ganda melalui industry pelancongan ini.
            Proses globalisasi pelancongan juga ditandai dengan peningkatan nyah sempadan.  Menurut Mercer (1994), fenomena pelancongan moden telah mempengaruhi banyak kawasan di dunia ini, dari Antartika ke Amazonia dan seterusnya dari gurun Sahara ke kawasan pedalaman Asia.  Seiring dengan perkembangan industry ini, masyarakat yang menerima impak daripada pelancongan moden ini juga turut mengalami perkembangan terbaharu dari segi pendidikan, perubatan, pertanian, makanan dan sebagainya.
            Proses globalisasi pelancongan yang wujud pada hari ini juga boleh disaksikan melalui peningkatan rangkaian hotel bertaraf multinasional dan pembentukan pelbagai pakej percutian yang standard dan berprestij.  Ia sebenarnya bertujuan memenuhi aspirasi pelancong yang mementingkan gaya hidup dan status social yang tinggi.  Kehendak dan cita rasa pelancong juga telah dibawa dan diperkenalkan di negara-negara Dunia Ketiga yang mereka kunjungi.  Maka wujudlah aktiviti memanipulasi komoditi pelancongan (symbol dan produk) yang kebanyakannya digerakkan oleh agensi korporat dan pelancongan multinasional.  Proses globalisasi dalam industry pelancongan ini juga memerlukan objek atau produk pelancongan yang baharu tanpa terhad kepada cita rasa dan kehendak masyarakat sesebuah negara.  Produk tersebut bukan sekadar untuk mewujudkan keinginan dan fantasi baharu, tetapi juga bertujuan membolehkannya digunakan, disaksikan, diamati, dibeli, diambil gambar, diceritakan dan difahami oleh para pelancong.  Penghasilan produk ini amat penting bagi menggiatkan lagi pembangunan pelancongan di sesuatu tempat dan memperkenalkan budaya kepada para pelancong asing.
            Bagi sesetengah negara pula, ‘Pelancongan Merah Jambu’ telah dijadikan pakej pelancongan antarabangsa dengan pilihan bersifat global untuk para pelancong yang datang semata-mata untuk mencari keseronokan.  Kini para pelancong lelaki dari pelbagai pelosok dunia membanjiri negara-negara Asia seperti Thailand, Korea, Filipina, Taiwan dan Indonesia untuk mencari kepuasan seks.  Ratusan ribu wanita di negara-negara berkenaan dan juga dari pelbagai negara lain termasuk dari negara- negara maju (Amerika dan Eropah) telah menawarkan pelbagai perkhidmatan di Bandar-bandar utama di negara-negara dunia Ketiga ini sebagai pelacur, teman social, tukang urut, pelakon pertunjukan seks, penari kelab malam dan seumpamanya.
            Seterusnya dari sudut politik, pelancongan telah dianggap sebagai penggalak integrasi nasional, kerjasama antarabangsa, kesejahteraan dan keamanan sejagat.  Oleh itu kestabilan politik dunia merupakan perkara yang amat penting dalam mempengaruhi perkembangan industry pelancongan global .  sebarang insiden yang mencetuskan keadaan yang tidak stabil seperti penculikan pelancong di pulau pelancongan di Sabah dan serangan bangunan Pusat Dagangan Dunia di New York telah memperlihatkan kemerosotan ketara dalam industry ini di negara-negara tersebut.  Kadar perjalanan antarabangsa telah merundum sehingga menjejaskan banyak pihak terutama syarikat penerbangan dan agensi pelacongan antabangsa.
            Pada hari ini, globalisasi telah meningkatkan lagi persaingan dalam industry pelancongan.  Dasar pintu terbuka tanpa had kepada para pelancong asing tanpa disedari telah meletakkan sesebuah negara itu sebagai pesaing di peringkat global bersama-sama negara lain yang telah maju.

            

1 comment :