Monday, November 18, 2013

PULAU PERHENTIAN


Pulau Perhentian salah satu destinasi ekopelancongan berasaskan pulau dan pesisir pantai yang terdapat di Malaysia.  Asalnya, Pulau Perhentian diberi nama berdasarkan tumpuan peniaga Malaysia dan Bangkok untuk berhenti dan berehat sebelum menyelesaikan urusan mereka atau dianggap sebagai ‘tempat untuk berhenti’ (http://www.perhentian.com.my).  Lokasi pulau ini adalah 10 batu nautika atau lebih kurang 19 kilometer daripada pesisir pantai di Negeri Terengganu.  Keluasan keseluruhan pulau adalah 1,392.15 hektar.  Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing di mana boleh mencapai setinggi 70 km hingga 300 km.  Guna tanah utama di pulau ini ialah penempatan pelancong dan hutan, manakala wujud hanya sebuah kawasan penempatan iaitu di Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil yang berkeluasan 9.87 hektar.  Kawasan penempatan ini seluas 9.87 hektar. Penempatan ini telah telibat dengan Program Penyusunan Semula Kampung nelayan Tradisional. Melalui program ini, pembinaan rumah dilaksanakan secara lebih teratur dan tersusun (Majlis Daerah Kuala Besut, 2013). 

Gugusan kepulauan ini merangkumi 9 buah pulau, iaitu Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Rawa, Tokong Burung, Tokong Bopeng, Susu Dara Kechil, Susu Dara Besar, Serenggeh dan Tokong Laut (rujuk rajah 1).  Hampir kesemua tempat penginapan pelancongan adalah resort dan terletak di Perhentian Besar. Bot digunakan sebagai alat pengangkutan bagi menghubungkan Pulau Perhentian dengan daratan.  Dari daratan pelancong manaiki bot di jeti yang terdapat di Kuala Besut. Masa perjalanan bergantung kepada jenis bot yang dinaiki, sama ada bot laju (setengah jam) atau bot perlahan (satu jam setengah)  (Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu, 2013) .  Di Pulau Perhentian Besar, kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk Dalam. Pulau Perhentian Kecil pula tumpuan pelancong adalah di Kampung Pasir Panjang dan Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur (rujuk peta rajah 1 dan 2).  Sebahagian besar di kedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesis pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut,Kelat Laut dan Rhu.  Mengikut kajian yang telah dijalankan terdapat lebih kurang 50 spesis batu karang ditemui di sekitar pulau tersebut.  Antara tumpuan terumbu batu karang adalah Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas Laut, teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pelau Perhentian Besar Selain itu enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar untuk bertelur, walaupun bilangannya semakin berkurangan (Pelan Pembangunan Penduduk dan Pelancongan Lestari Pulau Perhentian, 2012).  Antara pantai tersebut iaitu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil, manakala di Pualau Perhentian Besar pula tertumpunya di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu.  Malahan juga, wujudnya spesis burung layang-layang (Walet) yang tinggal di dalam gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya (Majlis Daerah Besut, 2013).

                                              

Kedudukan Pulau Perhentian di Malaysia.


Asalnya pulau ini diduduki  oleh komuniti terawal yang berasal dari Kepulauan Riau.  Batin Mina dikatakan merupakan orang pertama membuka kawasan petempatan di Pulau Perhentian.  Ia juga mempunyai 1,393 petempatan yang didiami oleh penduduk tempatan yang terdiri oleh 98.8 peratus kaum Melayu beragama Islam.  Sebanyak 58.4 peratus didiami oleh penduduk asal pulau ini, 38.7 peratus adalah pendatang daripada luar pulau yang merupakan warganegara dan 2.9 peratus pendatang bukan warganegara Malaysia (Yahaya Ibrahim, 2007).  Sebelum ini aktiviti ekonomi utama bagi penduduk tempatan adalah perikanan.  Setelah kecantikan sumber yang terdapat di pulau itu dimanfaatkan, industri pelancongan telah berkembang dengan pesat. Setelah Pulau Perhentian digazetkan sebagai taman laut, aktiviti perikanan menjadi terhad dan sejumlah besar penduduk terlibat dengan sektor pelancongan.  Pada tahun 2007, didapati 39.9 peratus (69 ketua isi rumah) telah melibatkan diri dalam sektor pelancongan termasuk sebagai pengusaha chalet (10.4 peratus), pengusaha bot pelancongan sebanyak 14.5 peratus dan bekerja di pusat pelancongan sama ada sebagai pembantu atau pemandu pelancong sebanyak 15 peratus.  Kini, sektor tradisional di pulau ini diusahakan oleh kurang 20.0 peratus oleh penduduk pulau (Yahaya Ibrahim, 2007). 
Kemudahan yang terdapat di Pulau Perhentian termasuklah pusat peranginan mewah, chalet bertaraf sederhana dan rendah, asrama serta kawasan perkhemahan. Tahap kualiti air yang tinggi serta kepelbagaian hidupan marin menyebabkan banyak aktiviti yang boleh dijalankan seperti scuba, flying fox, snorkeling, menaiki bot, perkhemahan dan pendaratan penyu (rujuk  (http://www.wonderfulmalaysia.com /perhentian-island).  Selain itu juga, Pulau Perhentian mempunyai beberapa tarikan seperti pulau-pulau lain.  Antaranya ialah terdapatnya beberapa laluan mendaki yang mana tidak mempunyai jalan namun diterangi cahaya dan tidak mengambil masa lebih dari 30 minit untuk menyelesaikan pendakian tersebut.  Malahan juga, pulau ini diduduki oleh hidupan liar yang bersaiz kecil seperti kelawar buah-buahan, monyet, dan beberapa spesis burung pulau.   Tarikan seterusnya adalah tarikan snorkeling.  Banyak resort di pulau ini mempunyai terumbu karang tersendiri, ini bermakna pengunjung boleh snorkel secara terus dari resort yang didiami. Malah, di sini terdapat banyak pusat menyelam (scuba diving).  Alat-alat menyelam juga boleh didapati dengan mudah dengan harga sewaan yang berpatutan.







No comments :

Post a Comment