Wednesday, November 27, 2013

Tanah Bencah Setiu

SELAIN menjadi pintu masuk utama Pulau Redang dan lokasi ikan celup tepung yang sangat popular di Terengganu, Setiu berpotensi menarik pelancong asing jika dimajukan sebagai lokasi eko-pelancongan berimpak rendah.

Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia yang mengutarakan cadangan itu baru-baru ini melihat potensi itu pasti dapat digilap jika satu strategi yang lestari dirangka terlebih dahulu sebagai panduan kepada pembangunan industri eko-pelancongan di kawasan Tanah Bencah Setiu.

Sebelum itu, Tanah Bencah Setiu telah menjadi lokasi tumpuan WWF-Malaysia untuk beberapa projek pemuliharaan habitat, pelbagai spesies tuntung dan penyu serta pelbagai isu pengurusan tanah bencah sejak 1993 lagi.

Pastinya, rangka yang diutarakan itu penting bagi memastikan pembangunan industri eko-pelancongan di Tanah Bencah Setiu bukan sahaja menguntungkan penduduk setempat, malah dapat mengekalkan keindahan alam semulajadi kawasan itu.

Isu pengurusan berkenaan termasuk penggunaan tanah secara mampan seperti pengurusan akuakultur dan pertanian, menangani masalah banjir, pemantauan kualiti air sungai, mengenalpasti kawasan yang mempunyai nilai konservasi tinggi di samping meningkatkan kesedaran penduduk tempatan tentang pentingnya pemuliharaan kawasan tersebut.

WWF-Malaysia yang membantu pengurusan habitat itu dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, membuat rumusan bahawa pendekatan secara pengurusan lestari adalah cara terbaik untuk menangani pelbagai cabaran, keperluan dan pemuliharaan alam sekitar tanah bencah.

Menurut Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma, sumber semulajadi Setiu sewajarnya dibangunkan dengan bijak dan terurus, iaitu melalui penggunaan tanah dan pemeliharaan ekosistem yang seimbang dan optimum.

''Sekiranya berjaya, keperluan semasa tetap boleh dipenuhi tanpa menjejaskan keupayaan tanah itu untuk memberi manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang," jelasnya.

Kepentingan utama ia dikekalkan sebagai tanah bencah ialah dari segi pemuliharaan kepelbagaian biologi termasuk peranannya sebagai habitat kepada hidupan liar termasuk 29 spesies mamalia, 112 spesies burung dan 28 spesies reptilia.

Tanah bencah istimewa

Tanah Bencah Setiu adalah satu daripada kawasan tanah bencah yang paling kaya dengan kepelbagaian sumber alam semulajadi di Malaysia.

Keistimewaan lain Tanah Bencah Setiau ialah panorama yang merangkum sungai, laguna dan pantai termasuk hutan riparian di sepanjang tebing sungai, hutan paya gelam, hutan paya gambut dan hutan paya bakau, muara sungai dan laguna, rumput laut serta pantai berpasir.

Unjuran laguna Setiu sepanjang kira-kira 14 kilometer sejajar dengan pesisir pantai pula mempunyai keunikan tersendiri dan memainkan fungsi penting sebagai tapak pembiakan dan asuhan majoriti spesies ikan komersial, selain kaya dengan benih kerang-kerangan dan anak ikan kerapu yang penting untuk industri akuakultur.

Kawasan pantai berpasirnya pula penting sebagai lokasi pendaratan penyu agar (Chelonia mydas), malahan dua lagi spesies penyu negara iaitu penyu karah (Eretmochelys imbricata) dan penyu lipas (Lepidochelys olivacea) juga pernah direkodkan mendarat di pantai itu.

Lebih penting lagi, daerah itu turut memainkan peranan penting dalam pemuliharaan dua spesies tuntung yang merupakan haiwan liar dalam kategori amat terancam dunia.

Dua spesies itu ialah tuntung sungai (Batagur affinis) yang kerap dilihat di situ dan tuntung laut (Batagur borneoensis) yang juga populasi terbesar spesies itu di Malaysia.

Kehadiran haiwan yang amat terancam seperti tuntung dan penyu agar di situ pasti akan menarik perhatian pelancong memandangkan haiwan itu sukar ditemui dan hanya wujud di beberapa lokasi tertentu dunia.

Lantas, Dionysius yakin bahawa Tanah Bencah Setiu mampu menyumbang punca rezeki penduduk setempat dan seterusnya menjana ekonomi daerah jika ekosistem kawasan itu dikekalkan dalam bentuk semulajadi. - Bernama



No comments :

Post a Comment